
KOTA TINGGI – Seorang lelaki yang meninggal dunia bersama isteri dan dua anaknya dalam kemalangan ngeri kelmarin sempat berpesan hendak menziarahi kubur arwah ibu ketika berkunjung ke rumah kakaknya di Bukit Rambai, Melaka baru-baru ini.
RAKAMAN KEJADIAN ADA DI BAWAH SEKALI
Hasanah Yahaya, 49, berkata, dia tidak menyangka ia merupakan yang terakhir diucapkan arwah adiknya, Muhammad Suti sebelum meninggal dunia apabila terlibat dalam kemalangan di Kampung Semanggar Dalam di sini.
Dalam kejadian 1.20 petang itu, Muhammad Suti yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 meninggal dunia bersama isteri, Siti Jamaliah Mohd Yatim, 27, serta dua anak mereka,
Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 5 dan Nurfatihah Jannah sembilan selepas bertembung dengan sebuah treler.
Kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa dari Kota Tinggi ke Kampung Semanggar Dalam gagal dikawal semasa melalui selekoh dan masuk ke laluan bertentangan.
Menurut Hasanah, ketika itu, arwah tidak sempat ziarah kubur ibu bersama-sama kerana mahu ke Negeri Sembilan untuk bertemu rakannya dan hanya pergi berasingan selepas itu.
Tambahnya, Allahyarham merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik dan sangat rapat dengannya selain paling peramah antara mereka.
“Arwah adik bekerja di kedai perkakasan dan tinggal di rumah yang disediakan majikan. Saya pernah nasihat dia supaya membeli kereta tetapi dia kata duit belum ada dan tak mampu,” katanya.
Sementara itu, ibu Siti Jamaliah, Rosni sintingan, 53, berkata, dia mendapat maklumat kejadian itu kira-kira pukul 3 petang selepas anak buahnya terlihat gambar kemalangan yang menimpa anak cucunya itu di Facebook sebelum ada orang lain yang menghubunginya.
“Kali terakhir kami berjumpa dua hari sebelum nahas ketika mereka datang ke Negeri Sembilan. Tiada pula kelakuan pelik cuma dia cakap ‘mak nak balik’ dan kami bersalaman tetapi dia tidak mahu cium,” katanya.
Sumber Kosmo
Be the first to comment